Bagaimana
meningkatkan rasa cinta kepada Allah dan Rasul?
سم الله الرحمن الرحيم
Cinta kepada
Allah dan Rasul adalah setinggi-tinggi nilai cinta yang dimiliki manusia. Di
dalam hadis Rasulullah -shallallahu ‘alaihi wasallam- menegaskan; Iman seorang
hamba tidak akan sempurna selagi ia tidak meletakkan dalam hatinya kecintaan
kepada Allah dan RasulNya melebihi dari cintanya kepada harta, anak dan diri
sendiri.
[1] Persoalan
bagaimana untuk meningkatkan kecintaan kita kepada Allah dan Rasul merupakan
satu persoalan yang besar. Walaupun begitu, ia akan mudah bagi orang yang
dimudahkan Allah (semoga kita termasuk dalam golongan ini). Antara cara untuk
meningkat rasa cinta kita kepada Allah ialah;
1. Dengan mengingati segala nikmat Allah
kepada kita bermula dari nikmat kewujudan kita di atas muka bumi ini, nikmat
kesihatan dan kesejahteraan, tubuh badan yang sempurna, dikurniakan keluarga
dan sahabat handai yang menyayangi kita dan bermacam nikmat lagi. Namun nikmat
terbesar yang Allah kurniakan ialah nikmat iman dan amal soleh. Semua manusia
berkongsi nikmat hidup, nikmat sihat dan nikmat keindahan tubuh badan (ahsani
taqwim), namun sedikit sahaja dari mereka yang dipilih Allah untuk diberi
nikmat iman, amal soleh, berterusan beramal soleh, nikmat kesungguhan untuk
meningkatkan iman, nikmat kecintaan kepada Allah dan RasulNya.
Dari 6000
juta manusia di atas muka bumi ini, kita telah dipilih oleh Allah untuk
diberikan nikmat khusus tersebut. Dengan mengingati nikmat-nikmat tersebut akan
bertambahlah cinta kita kepada Allah. Adapun Nabi Muhammad, di antara yang
boleh kita ingati semoga bertambah cinta kita kepada baginda ialah dengan
mengingati jasa baginda menyampaikan risalah Allah kepada kita, jihad baginda,
kesabarannya, keinginan baginda untuk melihat kesejahteraan kita dunia dan
akhirat, kesungguhan baginda untuk menyelamatkan kita dari neraka dan supaya
kita dapat masuk syurga dengan kurniaan Allah.
2. Dengan kita mengenali Allah melalui
sifat-sifat dan nama-namaNya yang indah (al-husna) yang dapat kita baca di
dalam al-Quran. Kita berusaha menghadirkan nama-nama itu (ke dalam hati kita)
pada setiap keadaan yang kita hadapi dalam hidup sama ada peristiwa yang kecil
atau besar dan sentiasa memerhati kesan-kesan dan tanda-tanda kewujudan sifat
dan nama-nama Allah itu di alam semesta yang terbentang luas di hadapan kita.
Sifat kepemurahan Allah, kasih-sayangNya, keagunganNya, kekuatanNya, ilmu dan
kebijaksanaanNya, maha pengampun dan penerima taubat hambaNya, melimpahi
nikmat, memberi petunjuk dan sifat-sifat serta nama-nama Allah yang lain;
semuanya jika kita fahami akan mencetuskan semangat dalam hati kita untuk lebih
mencintai Allah.
Adapun
Rasulullah, sifat-sifatnya menggambarkan kesempurnaan seorang manusia. Baginda
adalah seorang yang pengasih, tidak pernah kedekut, suka berkorban, sentiasa
manis muka, berani, berlumba kepada kebaikan, penyabar dan sifat-sifat
seterusnya yang tidak dapat kita jelaskan kesemuanya di sini. Sesiapa sahaja
yang dengan penuh insaf membaca sirah hidupnya, ia pasti akan jatuh cinta
kepada baginda.
3. Dengan kita memerhati dan merenung
makhluk-makhluk ciptaan Allah yang bermacam-macam di alam semesta luas ini,
serta memerhati kehalusan sistem Tuhan yang ada pada makhluk-makhluk tersebut
dan undang-undang yang mengatur perjalanan alam ini tanpa ada kecelaruan,
kesilapan dan perlanggaran sesama mereka. Semua itu menunjukkan kepada
keagungan Tuhan maha pencipta (Allah) dan kekuatanNya, namun Dia tidak pernah
menzalimi mana-mana makhluknya. Dia juga maha bijaksana dalam hal makhlukNya.
4. Dengan kita menilai amalan-amalan kita
selama ini, betapa kita banyak lalai dalam menunaikan hak Allah ke atas kita,
namun Allah tetap mengasihi kita di mana Dia tidak menghukum kita, malah
memberi tangguhan supaya kita bertaubat dan kembali kepadaNya. Allah menyukai
hamba-hambaNya yang bertaubat dan membersih diri. Hamba yang lemah telah
mengingkari Tuhannya yang maha kuat dan berkuasa, namun Tuhannya membiarkannya
dan tidak menghukumnya walaupun jika Ia mahu Ia mampu melakukan menghukum
hambaNya yang engkar itu. Betapa tingginya kasih sayang Allah kepada
hamba-hambaNya.
5. Dengan
merenung betapa Allah yang maha kaya sudi menerima kita untuk mengadapNya.
Banyak hadis yang dapat dijadikan contoh bagi kenyataan ini. Di antaranya hadis
qudsi di mana Allah berfirman; “Aku bersama sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku
bersamanya tatkala ia mengingatiKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya, aku
akan ingat kepadanya dalam diriKu. Jika ia menyebut namaKu di hadapan orang
ramai, Aku akan menyebut namanya di depan makhluk yang lebih baik dari mereka.
Jika ia mendekatiKu sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Jika ia mendekatiku
sehasta, aku mendekatinya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan, akan
datang kepadanya berlari”
.
[2]
Ketahuilah bahawa rasa cinta dalam hati kita kepada Allah dan Rasulnya itu
adalah nikmat yang agung, namun lebih agung darinya ialah apabila Allah
menyintai kita. Agar Allah menyintai kita, marilah kita memdengar apa kata
Allah; “Tidak ada amalan yang dilakukan hambaKu untuk ia mendekatkan dirinya
kepada yang paling aku sukai melebihi dari amalan-amalan yang aku fardhukan ke
atasnya. Kemudian jika hambaKu terus menerus mendekatkan dirinya kepadaKu
dengan amalan/amalan sunat Aku akan mengasihinya. Apabila aku kasih kepadanya,
akulah pendengarannya yang ia mendengar dengannya, matanya yang ia melihat
dengannya, tangannya yang ia memegang dengannya dan kakinya yang ia berjalan
dengannya. Bila ia meminta dariKu, pasti Aku beri kepadanya. Bila ia berlindung
denganKu, pasti aku lindunginya…”.
[3] Dari
hadis qudsi di atas amat jelas jalan supaya Allah menyintai/mengasihi kita
iaitu;
1. Dengan kita melaksanakan amalan-amalan fardhu,
2. Diikuti dengan
banyak beramal dengan amalan-amalan sunat. Wallahu a’lam.
Nota; [1] Berdasarkan
hadis “Tidak beriman seorang kamu hinggalah diriku lebih ia cintai dari
bapanya, anaknya serta sekelian manusia yang lain” (HR Imam al-Bukhari dari
Anas r.a.). [2] Riwayat Imam al-Bukhari dari Abdurrahman bin as-Sakhr r.a.. [3]
Hadis riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.. Lihat hadis ini dalam
al-Arbain an-Nawawiyah, hadis 32. Rujukan; 1. Syeikh Jamal Yusuf al-Humaili
(http://islamtoday.net/istesharat/services/saveques-70-174041.htm).
Artikel :
www.ilmudanulamak.net